Followers

Monday, October 7, 2013

Warisan Ibu - Bukan Pinggan Mangkuk Tetapi Ilmu!

Usia emakku dah semakin bertambah. Pergerakannya dah semakin lemah berbanding dulu, suaranya pun sangat perlahan kedengaran ke telingaku, dan daya ingatannya juga dah semakin berkurangan.
Pun begitu aku  anak yang sulung sangat bertuah kerana masih sempat melihat kecantikan emak sewaktu muda, akalnya pintar dan ideanya bernas senada dengan pergerakannya yang cepat dan tangkas. Aku sungguh mengkagumi  kekuatan dalamannya, tabah dan sabar menempuh cabaran membesarkan kami sembilan beradik, walau dengan serba kepayahan emak mampu menjaga makan pakai kami adik beradik hinggakan kami membesar dengan sihat tanpa sebarang penyakit dan berupaya pula melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi semahu kami.

Minggu lepas sewaktu pulang ke rumah emak, aku meminta izin dari emak untuk menyimpan secara personal pinggan mangkuk lama yang pernah aku dan adik-adikku gunakan semasa kecil-kecil dulu. Emakku tidak pernah memiliki koleksi pinggan mangkuk yang mahal-mahal atau dari luar negara. Apalagi yang disimpan dalam almari, itu jauh sekali. Yang ada di dapur itulah yang kami gunakan sekeluarga. Seingat-ingat aku emak bermain kutu pinggan mangkuk dan gelas beberapa dozen untuk digunakan di dapur kami. Dan tentulah aku pun salah seorang ejen yang ligat memecahkan pinggan mangkuk emak sejak dari kecil :p

Aku tidak dapat menjawab pertanyaan emak untuk apa aku nakkan pinggan lama yang dah tak digunakan tu, tetapi hatiku yang sebak itulah jawapan kepada persoalan tersebut. Hakikatnya itulah, usia kami ada pada pinggan lama itu, kenangan kami bersama emak dan ayah terukir di pinggan lama itu. 


Hanya ini yang tinggal,
2 pasang cawan dan 6 biji pinggan makan berlainan corak
yang lain dah pecah (emak cakap dah jadi baja tanah..hahaha!!


Emak beli dah lama, yang lain dah pecah



pinggan makan pokok buluh emas
dah tertanggal-tanggal cat emasnya
masa aku kecik-kecik paling suka guna pinggan ni, emasnya berkilau-kilau
dah tinggal sebiji!


tinggal sebiji jugak
bunga padi



bunga warna biru
aku tak tahu nama apa
hanya ada sebiji ni je!


tinggal sebiji
bunga kekwa hitam



bunga kangkung
adikku Rafikah suka guna pinggan ni
ada sebiji jugakla!


bunga twin roses
dah ada stain tapi yang inilah paling cantik bagiku dan koleksi termahal buatku .hehe!
pun tinggal sebiji ni je!

Terima kasih emak! Bukan pinggan mangkuk ini yang berharga, tetapi kasih sayang dan didikan dari emaklah yang paling aku hargai. Sayang sangat pada emak!

No comments:

Post a Comment